Semakin membesar dia...
Khamis, 25 Januari 2007
Hari ini Hannah genap 6 bulan. Kira-kira setengah tahun umurnya. Melihatkan perkembangannya rasa kagum tersemat di sanubari mengenangkan peristiwa di awal kelahirannya. Syukur Alhamdulillah aku berterima kasih padamu ya tuhan kerana mengurniakan jua Hannah kepadaku.
Kini Hannah telah pandai meniarap dan terlentang. Gusar juga bila melihat Hannah agak lambat melepasi tahap ini jika dibandingkan dengan anak-anak rakan sekerjaku. Namun aku percaya Hannah pasti boleh melakukannya.
Kebetulan hari raya Aidil Adha yang lalu sepupu suamiku datang ke rumah. Dia yang telah berpengalaman mengajarku cara-cara 'stimulate' Hannah. Aku pun melakukan seperti yang telah diajar dan sejak dari itu Hannah begitu yakin meniarap dan agak cepat juga dia belajar menelentang.
Sehingga ke hari ini, Hannah telah pandai berdiri dalam 'walker' tanpa memegang dan berpaut pada walker tersebut. Dia juga telah mengenal diriku sebagai ibunya. Pantang saja aku berpakaian pejabat atau cantik, Hannah mulalah merengek-rengek minta didukung. Setiap subuh Hannah pasti bangun bersama-sama ku. Terpaksalah aku melayan karenahnya dalam keadaan kelam kabut menyiapkan diri untuk ke tempat kerja. Risau juga memikirkan jika aku terpaksa meninggalkan Hannah kerana kerja luar untuk tempoh yang lama kerana waktu malam Hannah memang ku berikan susu ibu sepenuhnya. Tak sanggup rasanya meninggalkan dia dalam kerinduan dan kesakitan menahan bengkak susu.
Semoga hari-hari mendatang akan menjadi kenangan manis ku bersama Hannah, kasih sayangku dan suami.








